Isnin, 19 Oktober 2009

AADK sasar 1,000 ahli Rada

Utusan Malaysia
ARKIB : 16/10/2009

TASEK GELUGOR 15 Okt. – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang menetapkan sasaran mengumpul 1,000 orang ahli Rakan Antidadah (Rada) di setiap daerah sebelum akhir tahun ini.
Pengarahnya, Chew Kah Eng berkata, kempen yang dilancarkan oleh AADK itu pada pertengahan tahun lepas kian mendapat sambutan.
“Mereka yang berusia 15 tahun ke atas layak menjadi ahli Rada,” katanya sempena Jamuan Aidilfitri di Pejabat AADK daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Kampung Selamat di sini semalam.
Hampir 1,000 orang menghadiri majlis itu bertema ‘1Pulau Pinang, 1Suara dan 1Harapan’.
Katanya, jika golongan muda menjadi ahli Rada pelbagai masalah penagihan di kalangan remaja di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut (TL) dan Barat Daya (BD) dapat diatasi.
“Setelah ramai anak muda menjadi ahli, kita berupaya mengumpul sekurang-kurangnya 5,000 remaja bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti pencegahan gejala negatif di kampung dan bandar,” katanya.
Beliau menegaskan, proses menarik remaja supaya menjadi ahli Rada memerlukan kerjasama daripada ibu bapa dan masyarakat tempatan.

Rabu, 14 Oktober 2009

Pamphlet PPDa SMK Taman Fajar Sandakan


Seludup 2kg kokain guna jaket


14/10/2009
Oleh NOR SEDEK ISMAIL-utusanselangor@utusan.com.my, Utusan Malaysia


SHAH ALAM 13 Okt. - Seorang wanita Filipina yang sarat mengandung tujuh bulan menjadi mangsa terbaru sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Dia diberkas bersama dua kilogram kokain cecair bernilai RM460,000 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 9 Oktober lalu.

Ketika ditahan pada pukul 9 pagi, suspek berusia 24 tahun itu yang dipercayai menjadi penghantar kepada rangkaian sindiket terbabit baru tiba dari Buenos Aires, Argentina pada pukul 6.30 pagi dan dalam perjalanan ke Ho Chi Minh City, Vietnam, tetapi transit di KLIA.

Modus operandi digunakan sindiket tersebut adalah menyerapkan kokain cecair itu dalam lapisan kapas jaket musim sejuk yang disimpan dalam beg galas suspek.

Jika berjaya tiba di destinasi terakhirnya, suspek bakal mendapat ganjaran AS$$2,400 (RM8,171).

Dadah itu pula akan diasing menggunakan sejenis bahan kimia tanpa menjejaskan kuantitinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan di bangunan satelit KLIA.

"Ketika itu suspek sepatutnya berlepas ke Ho Chi Minh pada pukul 9.05 pagi tetapi telah ditahan dan dibawa ke pejabat narkotik di sini untuk pemeriksaan.

"Jaket dibawanya menimbulkan curiga kerana berada dalam keadaan basah dan hasil analisis ia disahkan mengandungi cecair kokain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis sambutan Aidilfitri dan Deepavali JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, gerak-geri suspek dikesan oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Narkotik KLIA.

Nordin Kadir memberitahu, siasatan mendapati suspek sebelum ini pernah transit sebanyak dua kali di KLIA iaitu pada Mac dan Ogos lalu.

"Kita turut merampas wang tunai AS$$419 (RM1,426), wang Thailand Baht840 (RM85) sejumlah kecil ringgit malaysia serta peso dari suspek dan tiada rekod menunjukkan dia sudah berkahwin," jelasnya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum gantung mandatori jika disabitkan kesalahan.




NORDIN Kadir menunjukkan jaket wanita Filipina yang diserapkan dengan dua kilogram kokain cecair pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam, semalam.

SEJARAH RINGKAS SMK TAMAN FAJAR, SANDAKAN

SMK Taman Fajar mula dibuka untuk beroperasi pada Disember tahun 1992 dengan memiliki dua bangunan utama. Pada ketika itu, hanya terdapat pelajar Tingkatan satu (4 kelas), Tingkatan dua (1 kelas) sahaja. PMR dan SPM bermula pada tahun 1993. Pada peringkat awal, sekolah ini diberi nama SMK Sandakan II yang hanya menempatkan pelajar lelaki dengan hanya 3 orang guru. Kemudiannya sekolah ini diubah kepada SMK Taman Fajar.Pada awalnya keadaan infrastruktur seperti jalanraya masih belum sempurna lagi dengan kawasan sekolah yang serba kekurangan. Sebelum pengetua pertama menerajui sekolah ini, Encik Busu seorang Penyelia Pendidikan Daerah pada waktu itu diberi tanggungjawab sebagai pengurus sementara mentadbir sekolah. Pada tahun 1993, En. Makhatar Che Haron telah dilantik sebagai pengetua pertama. Kerjasama erat yang terjalin telah membantu menjadikan sekolah ini berkembang maju. Kini pada tahun 2008, bilangan gurunya telah menjadi 53 orang, 8 orang kerani dengan kapasiti pelajar seramai 1,032 orang.